Siapa yang tak kenal Starbucks? Starbucks merupakan rangkaian kedai kopi yang terbesar di dunia, mencecah jualan berbilion-bilion dolar setiap tahun, dengan 60 juta pelanggan dan memiliki lebih 17,000 cawangan di seluruh dunia. Di Kuala Lumpur, Starbucks telah menjadi imej atau ikon kepada generasi cafe dan hantu WiFi di mana-mana bandar di negara kita.
Sepuluh
tahun dahulu, Starbucks dilihat sebagai kedai kopi untuk orang-orang
kaya Kuala Lumpur. Tetapi sekarang ia sudah menjadi sebahagian daripada
kehidupan harian buat mana-mana individu yang tinggal di sebuah bandar
besar di negara ini. Hari ini, Starbucks bukan sekadar kedai menjual
kopi. Ia adalah tempat pertemuan, tempat untuk berehat, tempat untuk
menjalankan perniagaan, sebuah ‘rumah’ yang jauh dari rumah.
Pada
pandangan kasar, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan Starbucks
sangat menjadi tumpuan pelanggannya. Pertama, Starbucks menawarkan
produk yang disukai pelanggan. Starbucks telah membuktikan bahawa
pembeli menyukai minuman manis. Kopinya dihidangkan dengan coklat,
kekacang dan krim seperti Toffee Nut Latte atau Caramel Macchiato. Ia
juga membuktikan pengunjung menyukai “pencuci mulut” yang diletakkan
bersama kopi.
Kedua,
Starbucks mengamalkan konsistensi dalam penghasilan kopi mereka.
Pelanggan tahu ke mana mereka pergi sama ada di New York, Malaysia atau
Tokyo, rasa kopi tetap sama. Kualitinya sama walaupun mereka berada di
kawasan berlainan. Ketiga, Starbucks memahami nilai ekonomi perniagaan.
Ia tidak mahu hanya menjual kopi dengan harga murah tetapi ia menawarkan
kopi yang enak, lemak dan manis ,yang memberi pulangan lumayan.
Seterusnya,
ini mungkin faktor yang paling penting. Starbucks bukan hanya menjual
kopi tetapi ia menjadi satu tempat yang mana para pengunjung boleh
membeli CD atau merakam lagu-lagu kegemaran. Ia juga menawarkan
perkhidmatan WiFi yang berjaya menarik generasi Y untuk duduk lebih lama
di cawangan Starbucks dan seterusnya dapat menjual lebih banyak kopi! Ambience atau suasana dalaman Starbucks yang selesa menyebabkan ramai yang suka berehat di situ atau mengadakan perjumpaan singkat.
Pengusaha bertaraf billionaire di
belakang kejayaan jenama paling komersial di dunia ini ialah Howard
Schultz yang telah berjaya membangunkan syarikatnya dari kedai kopi
kecil menjadi sebuah jenama global. Merupakan seorang yang tidak mudah
menyerah kalah, Schultz mengambil satu tahun untuk meyakinkan founder
Starbucks untuk memberikan beliau kerja. Beliau bekerja di Hammarplast
pada waktu itu. Kemudian selepas melawat Milan, Italy, beliau membuka
kedai kopinya sendiri yang diberi nama Il Giornale pada tahun 1985.
Akhirnya beliau berjaya membeli Starbucks pada tahun 1987 dengan harga
USD$3.8 juta. Ketika Schultz mengambil jawatan CEO di Starbucks pada
tahun 2008, syarikat itu berada dalam keadaan yang teruk. Strateginya
ialah memberikan pengalaman yang segar dan baru kepada pembeli. Menurut
Schultz, Starbucks sebelum itu terlalu fokus pada perkembangan ekonomi
syarikat sehingga ia hilang sentuhan romantik dengan pembeli.
Kaedah
perniagaan Schultz ialah memberikan fokus pada peranan penting yang
dimainkan oleh pekerja biasa untuk memberikan pengalaman menarik pada
pelanggan. Di memanggil pekerjanya sebagai “rakan niaga” dan pusat
pengurusan syarikat dipanggil Starbuck Support Center.
Starbucks
ialah syarikat pertama di Amerika yang memberikan faedah kesihatan dan
program pembangunan sepenuhnya pada semua kakitangan, termasuk mereka
yang bekerja secara sambilan. Kaedah kerja yang uniknya ini sebenarnya
dipengaruhi kehidupan semasa zaman kanak-kanaknya. Sebagai anak sulung
yang dibesarkan oleh seorang ayah yang kerap bertukar-tukar kerja tanpa
jaminan kesihatan dan kewangan, beliau berazam untuk menjadi orang yang
berjaya dalam hidup serta mencipta syarikat yang mengutamakan kebajikan
para pekerja dan beliau berjaya merealisasikannya.
Beberapa
jenis buku telah diterbitkan tentang rahsia kejayaan Starbucks namun
semua ini dinafikan Schultz yang menganggap kejayaan Starbucks tidak
berlandaskan sebarang rahsia luar biasa. Model perniagaan Starbucks yang
mungkin agak berlainan daripada syarikat-syarikat kopi terkemuka dunia
ialah ia lebih banyak berbelanja untuk pembangunan dan latihan untuk
para pekerjanya daripada pengiklanan!
Dalam satu artikel yang dilaporkan oleh Michael Lee Stallard
dalam sebuah laman web yang berkisar tentang kepimpinan, terbongkar
sebuah kisah tentang sifat kepimpinan ‘unik’ Howard Schultz. Pada suatu
malam 15 tahun dahulu, Howard Behar, bekas presiden Starbucks Amerika
Utara dan Starbucks International menerima panggilan di rumahnya di
Seattle. Tiga orang pekerja Starbucks di Georgetown, Washington, DC
telah ditembak dan dibunuh. Behar segera memanggil Howard Schultz, Ketua
Pegawai Eksekutif Starbucks yang berada di New York City pada ketika
itu.
Schultz
tidak segera hubungi peguam atau pegawai hubungan awam Starbucks.
Sebaliknya, Schultz menuju ke Washington, DC. Sebaik sahaja tiba, beliau
bercakap dengan pihak polis kemudian berjalan menuju ke cawangan
Starbucks tersebut untuk mendapatkan alamat tiga pekerja Starbucks yang
dibunuh, pergi ke setiap rumah mereka dan berkongsi air mata dengan
keluarga ketiga-tiga mangsa tersebut. Howard Schultz telah membuktikan
diri beliau sebagai seorang pemimpin yang mempunyai hati dan perasaan,
yang biasanya jarang diambil berat oleh pemimpin-pemimpin lain di dunia.
Beliau berani menunjukkan kesedihan beliau kepada keluarga, kawan-kawan
mangsa dan rakan-rakan sekerja!
Dalam buku karangan beliau sendiri yang bertajuk Onward: How Starbucks Fought for Its Life without Losing Its Soul, ada beberapa pengajaran yang boleh diaplikasikan dalam apa jua jenis perniagaan masa kini iaitu:
1 – Bersifat empati dan berkomunikasi dengan telus.
Sebagai
seorang yang agak beremosi, Schultz menegaskan bahawa sifat empati
kepada orang lain membolehkan anda untuk menjadi orang perniagaan yang
lebih baik kerana ia hanya memerlukan anda berhenti berfikir tentang
diri anda dan sebaliknya, memberi tumpuan kepada orang lain (pelanggan,
ahli pasukan, dll). Berkomunikasi dengan telus pula membawa maksud
berinteraksi dengan pasaran anda dengan kerap dan melalui pelbagai
saluran yang berbeza (e-mel, telefon, Facebook, Twitter, dll) serta
bersifat telus dalam melakukannya. Sifat telus boleh dicapai dengan
berlaku jujur dengan apa yang anda lakukan. Ketelusan membolehkan orang
ramai melihat bahawa anda adalah orang sebenar dan mereka secara semula
jadi akan tertarik dengan anda dan kejujuran anda.
2 – Beroperasi berdasarkan nilai, ia adalah asas kepada segala-galanya.
Menurut,
Schultz, nilai memupuk integriti kerana ia adalah koleksi
perkara-perkara yang penting kepada anda. Sebagai contoh, beliau tidak
menggalakkan orang ramai menggunakan produk atau perkhidmatan yang
beliau sendiri belum pernah cuba. Beliau lebih suka menggalakkan
penggunaan kaedah, alat, dan perkhidmatan yang beliau benar-benar tahu
dan faham. Katanya, ramai ahli perniagaan di luar sana yang hanya tahu
menggalakkan apa-apa sahaja cara yang boleh mengaut keuntungan tinggi
tetapi tidak beliau. Dan itulah yang dipanggil sebagai nilai!
3 – Bertanggungjawab dengan apa yang dilihat, didengar, dan dibuat.
Seperti
yang diketahui ramai, Schultz sangat mementingkan perkembangan
peribadi. Beliau sedar dengan beberapa perkara seperti muzik apa yang
orang ramai dengar, buku yang orang ramai baca, dan seterusnya apakah
langkah yang perlu diambil untuk membina perniagaan yang ideal.
Carmine
Gallo, dalam kolumnya untuk Forbes, menceritakan tentang rahsia utama
kejayaan Starbucks yang membolehkan syarikat itu menjadi brand
antarabangsa selain mengukuhkan kedudukan syarikatnya di saat ekonomi
Amerika masih sedang pulih. Dalam satu wawancara selama dua jam, Gallo
menceritakan bagaimana Howard Schultz, CEO Starbucks, berbual dengannya
tanpa sekali pun membuka topik tentang kopi. Apabila ditanya kemudian,
Schultz memberitahu bahawa walaupun Starbucks terlibat dalam perniagaan
kopi, tetapi ia adalah sebenarnya tentang menghubungkan manusia. Dan
bukankah itu yang Starbucks telah berjaya lakukan di seluruh dunia? Menghubungkan manusia. Bukan membuat duit semata-mata.
Walaubagaimanapun, kegagalan adalah perkara wajib dalam sesebuah perniagaan.
Walaupun, globalisasi telah menarik keluar berjuta-juta orang di
negara-negara membangun daripada belenggu kemiskinan dan telah
menghantar barangan, perkhidmatan dan orang di seluruh dunia, yang
menghubungkan kemanusiaan ke dalam rangkaian yang luas komunikasi dan
perdagangan yang akhirnya memberi faedah kepada semua, Starbucks hampir
gagal secara keseluruhan di Australia – menutup 61 daripada 84 kedai. Di
Melbourne, hanya lima daripada 16 kedai Starbucks yang masih kekal.
Jadi
mengapa Starbucks berjaya di Amerika Syarikat tetapi sebahagian
besarnya gagal di Australia Rahsia kejayaan Starbucks dalam pasaran
Amerika adalah bahawa ia bukan sekadar menjual kopi. Ia menjual budaya
kopi. Pada lewat 1980-an, Persatuan Kopi Kebangsaan telah mengeluarkan
iklan untuk meyakinkan orang ramai bahawa kopi dapat mengurangkan rasa
mengantuk. Tidak hairanlah bahawa apabila Starbucks yang muncul sekitar
tahun 1990-an, menukarkan kafe tersebut kepada hab sosial. Tetapi
apabila Starbucks datang ke Australia untuk membawa kopi dan budaya kafe
kepada orang ramai, ia mendapati bahawa di Melbourne khususnya, mereka
mempunyai kopi yang lebih baik dan lebih kafe santai daripada Starbucks.
Starbucks
memasuki pasaran Australia pada Julai 2000 dengan kedai pertama di
kawasan perniagaan di Sydney. Walaupun kurang penerimaan daripada orang
ramai dan kewujudan pelbagai jenis pesaing, Starbucks berkembang dengan
cepat dengan membuka kedai di bandar-bandar besar di Australia. Ini
dilakukan tanpa penyesuaian produk, proses, atau strategi promosi. Pakar
merasakan bahawa Starbucks gagal dalam pasaran Australia yang
sebahagian besarnya disebabkan oleh ketidakupayaan untuk memahami
pengguna Australia dan budaya.
Keadaan
ini telah menyebabkan beliau mengambil keputusan untuk menutup semua
cawangan kedai Starbucks di Australia sejurus selepas syarikat itu
mencatatkan kerugian bersih yang agak tinggi bagi tahun 2008. Walau
bagaimanapun, Schultz tidak mudah menyerah kalah. Beliau yang telah
belajar daripada kesilapan kerana tidak memahami budaya hidup masyarakat
Australia terlebih dahulu sebelum mengembangkan Starbucks di sana
meneruskan operasi dalam pasaran Eropah dan antarabangsa yang lain.
Kejayaan
rantaian sesuatu syarikat bergantung pada visi yang jelas. Schultz
mampu menyatukan pasukan di sebalik usaha beliau, memahami emosi dan
memberi inspirasi kepada para pekerjanya. Dengan imaginasi dan tekad
dalam mengejar matlamat, beliau mampu untuk mengubah operasi
berpangkalan di Seattle, 33 tahun dahulu kepada kejayaan antarabangsa
yang menjadi fenomena dunia dengan kekayaan terkini direkodkan USD$4.1
bilion! Dengan lebih 10,000 lokasi dan beratus-ratus juta penggemar
setia kopi, adalah sukar untuk membayangkan dunia tanpa Starbucks,
syarikat kopi yang paling berjaya dalam sejarah penubuhan syarikat kopi
di seluruh dunia.
thanks for the tips bro..yer la..same2 kita naik kan ekonomi ummah :-)
ReplyDelete